Sejarah SKK


Sekolah Kebangsaan Kempas terletak di lot 4347, Jalan Lurah 15, Kampung Kempas Baru, 81200 Johor Bahru iaitu lebih kurang 18 kilometer dari pusat Bandaraya Johor Bahru.

Nama Kempas diambil bersempena nama sejenis pokok yang tumbuh di kawasan ini dan juga merupakan nama bagi kampung ini.Sekolah ini dibina di atas keluasan tanah seluas 5 ekar 2 rod dan ia siap dibina pada pertengahan tahun 1982. Ia terdiri daripada 2 blok bangunan dengan dilengkapi 12 bilik darjah, sebuah pejabat, perpustakaan, bilik guru, kantin dan padang sekolah.

Pada 2 Januari 1983, seramai 340 orang murid dan 12 orang guru telah ditempatkan di sini bagi memulakan sesi persekolahan di mana Tn. Hj. Mohd Rani Bin Mohd Salleh merupakan Guru Besar yang pertama. Murid-murid Kampung Kempas Baru yang bersekolah di SK Pengkalan Rinting dan SK Komleks Uda telah dipindahkan ke sekolah ini.

Pada peringkat awalnya, sekolah ini merupakan sekolah cawangan kepada SK Pengkalan Rinting, sehinggalah pada tahun 1985 ia diberi taraf pentadbiran persendirian. Pada 13 Julai 1993, YB Dato’ Hj Mohamed Bin Hj Rahmat telah melancarkan program ‘Sekolahku Sayang’.

Sebagai sekolah baru tentunya banyak cabaran dan kesulitan telah dialami. Kemudahan fizikal yang tidak mencukupi telah menyebabkan iklim pembelajaran yang kurang kondusif akibat pertambahan jumlah murid tahun demi tahun. Namun dengan kegigihan dan kesungguhan para guru, kakitangan sekolah, murid dan kerjasama PIBG, pelbagai kemajuan dan kejayaan telah dikecapi dan dibanggakan baik dari segi kemudahan fizikal hinggalah ke bidang akademik serta ko-kurikulum selaras dengan moto sekolah ‘ Sentiasa Kejar Kemajuan’.

Kini sekolah berbangga kerana telah dilengkapi dengan sebuah dewan besar, surau, makmal komputer, kelas prasekolah serta persekitaran sekolah yang indah bagi kegunaan murid seramai 1400 orang, 70 orang guru, serta 9 kakitangan sekolah. Semoga di bawah kepimpinan Guru Besar yang ke-9 iaitu Pn. Noorsihah Binti Hj Derwish, Sekolah Kebangsaan Kempas terus melangkah dengan jayanya serta dapat mencapai kecemerlangan dalam semua bidang.